BBPP1103 - Prinsip
Pengurusan (OUM)
Assignment September
2012
(Persekitaran Membuat
Keputusan)
1.0 PENGENALAN
Masyarakat hari
ini adalah masyarakat berorganisasi, yakni masyarakat yang tersusun dan
berperaturan. Manusia dilahirkan di dalam organisasi, menerima
pelajaran di dalam organisasi dan kebanyakan daripada masa dihabiskan di dalam
organisasi seperti di rumah, pejabat, syarikat, persatuan dan
sebagainya. Oleh kerana masyarakat moden pada hari ini lebih
mengutamakan rasionalisasi, keberkesanan dan prestasi, maka peranan organisasi
semakin kritikal dan mencabar. Salah satu peranan yang dilakukan
oleh organisasi ialah dengan mengkordinasikan kegiatan manusia di dalam
organisasi dengan sumber yang ada supaya dapat diolah melalui kepimpinan atau
pengurusan yang berkesan dan berkebolehan.
Salah satu tugas penting pengurus dalam melaksanakan fungsi pengurusan
ialah pembuatan keputusan. Pengurus berhadapan dengan pelbagai situasi
pada setiap hari yang memerlukan keputusan dibuat. Keputusan adalah satu
pilihan daripada pelbagai alternatif set tindakan untuk berhadapan dengan
masalah. Masalah pula adalah perbezaan antara situasi sebenar dengan
situasi yang dikehendaki. Jika situasi sebenar adalah sama dengan situasi
yang dikehendaki, maka organisasi tidak menghadapi masalah. Masalah utama
para pengurus ialah ketidakcekapan prestasi pekerja, unit, jabatan, bahagian
dan organisasi. Masalah ini terjadi apabila prestasi sebenar tidak sama
ataupun kurang dengan prestasi yang dikehendaki.
Menurut Abu Mansor et. al (dalam Shahrol Aman Ahmad et. al, 2007) sesuatu
keputusan yang baik bukan sahaja dipengaruhi oleh pengalaman, kecekapan dan
kemahiran pembuat keputusan, tetapi juga kecukupan dan kesahihan maklumat yang
diperoleh berkenaan persekitaran perniagaan. Menurut Thomas J. Atchison
(dalam Ahmad Atory Hussain, 1985), pembuatan keputusan (decision making)
didefinisikan sebagai semua pemikiran dan tindakan yang membawa kepada satu
pilihan, termasuk pemilihan itu sendiri. Dengan lain perkataan, pembuatan
keputusan merujuk kepada satu aktiviti atau proses memilih satu
penyelesaian (solution) daripada beberapa alternatif yang ada.
Menurut Daft & Hiatt (dalam Jaafar Muhammad et. al, 2007) terdapat tiga
keadaan atau persekitaran yang mempengaruhi pembuatan keputusan iaitu pembuatan
keputusan dalam keadaan kepastian, pembuatan keputusan dalam keadaan
ketidakpastian dan pembuatan keputusan dalam keadaan risiko.
2.0 Persekitaran Membuat Keputusan
Keputusan yang
dibuat oleh pengurus adalah melibatkan masa depan sesebuah organisasi, dan ini
adalah sesuatu yang amat sukar diramal. Keputusan merupakan kesimpulan
terbaik yang diperoleh setelah mengenalpasti pelbagai alternatif.
Williams (2000) menyatakan, keputusan yang bijak adalah keputusan yang dibuat
melalui proses khusus. Ia diasaskan pada nilai dan persepsi pembuat
keputusan serta melibatkan alternatif yang dipertimbangkan secara teliti dan
berasaskan pilihan di sepanjang penilaian semula secara berkala berkenaan
dengan keputusan yang diambil serta mengambil kira kesan yang berlaku.
Selain itu kebanyakkan keputusan melibatkan beberapa konflik ataupun rasa tidak
puas hati. Bahagian yang dianggap sukar dalam membuat keputusan ialah
mendapatkan penyelesaian yang positif serta dapat diimbangi dengan risiko yang
mungkin timbul. Pada amnya, para pengurus membuat keputusan berdasarkan
kepada informasi-informasi yang terdapat pada masa kini dan ianya dilakukan
dalam tiga persekitaran iaitu:
3.0 Pembuatan Keputusan Dalam Keadaan Kepastian
Dalam persekitaran
pembuatan keputusan dalam keadaan kepastian ini, maklumat adalah mencukupi
untuk setiap alternatif. Ini bermaksud maklumat tersebut adalah lengkap
dan boleh dipercayai. Pengurus mengetahui kepentingan setiap alternatif
serta memahami dan menjangka hasil terakhir setiap alternatif. Keadaan
ini adalah ideal dalam menyelesaikan masalah dengan cabaran utama
pengurusan adalah mengkaji setiap alternatif dan memilih penyelesaian
terbaik. Walaupun beberapa masalah akan timbul, ia boleh dihadapi dan
ditangani agar ketidaktentuan dapat dikurangkan. Seseorang pengurus perlu
berfikiran rasional dalam pembuatan keputusan dengan mengambil kira fakta,
hujah-hujah dan sebab-sebab yang munasabah, praktikal dan sistematik dalam
memilih alternatif yang terbaik.
Oleh itu, seseorang pengurus perlu menilai keputusan yang akan dibuat
dengan mengambil kira proses-proses dalam pembuatan keputusan. Proses
pertama dalam pembuatan keputusan ialah mendefinisikan masalah dengan mengenal
pasti masalah, faktor penyebab dan cara untuk menyelesaikannya. Proses
kedua ialah mengenal pasti kriteria keputusan dengan mengetahui ciri-ciri
keputusan yang akan diambil untuk memilih keputusan yang lebih rasional dan
relevan. Proses seterusnya ialah memberi pemberat kepada setiap kriteria
bertujuan untuk membuat perbandingan secara relatif kepada setiap kriteria
secara langsung antara satu dengan yang lain. Proses keempat ialah
menjana alternatif penyelesaian yang telah dipilih. Dalam proses kelima,
setiap alternatif akan dinilai dengan membandingkannya dengan setiap kriteria
keputusan bagi menentukan setakat mana alternatif-alternatif tersebut dapat
memenuhi kriteria keputusan yang telah ditetapkan. Proses terakhir ialah
mengambil keputusan yang optimum iaitu dengan memilih alternatif keputusan yang
terbaik.
3.1 Contoh Pertama
Pengurusan yang
cemerlang dalam sesebuah organisasi boleh diukur melalui aspek kecekapan,
keberkesanan, produktiviti dan kualiti produk serta perkhidmatan yang
ditawarkan oleh sesebuah organisasi. Semua perkara tersebut adalah
berdasarkan kepada keputusan yang telah dibuat. Seperti yang kita
ketahui, dalam persekitaran pembuatan keputusan dalam keadaan kepastian,
pengurus memikirkan sesuatu masalah berdasarkan tahap kepastian dan
risikonya. Ini bermaksud, seseorang pengurus itu telah menjangka apa yang
bakal berlaku pada masa hadapan serta memiliki maklumat yang meyakinkan dan
boleh dipercayai mengenai sesuatu perkara. Contoh yang paling mudah
ialah, seorang pengurus di dalam sebuah syarikat ingin melaburkan sejumlah wang
milik syarikat ke dalam sebuah bank. Pengurus tersebut sudah tentu telah
mengetahui jumlah pulangan dan keuntungan yang bakal diterima oleh syarikatnya
dalam jangka masa tertentu. Ini kerana beliau telah dimaklumkan dengan
jelas oleh pihak pengurusan bank mengenai kadar faedah dan polisi yang telah
ditawar dan ditetapkan oleh pihak bank.
3.2 Contoh Kedua
Seorang pengurus
di sebuah syarikat perumahan telah membuat keputusan untuk membeli sebidang
tanah untuk projek perumahan kos sederhana syarikatnya. Pihak pengurusan
telah berbincang dan telah mengambil kata sepakat untuk membeli tanah
tersebut. Dalam hal ini, pengurus telah mengenalpasti terlebih dahulu
tentang apa yang bakal dihadapinya dalam menguruskan projek di tempat pembinaan
dengan mengenalpasti segala tugas-tugas dan tanggungjawab yang harus
dipikulnya. Pengurus amat yakin bahawa syarikatnya akan berupaya untuk
menghadapi pelbagai cabaran seperti globalisasi, perubahan yang cepat, tekanan
terhadap kualiti dan kecekapan serta isu etika dan tanggungjawab sosial.
Perkara asas kepada pembelian tanah tersebut ialah perkara yang melibatkan
kos. Pengurus berpendapat, lokasi tanah tersebut adalah strategik dan
harga tanah yang ditawarkan oleh pemilik tanah juga munasabah. Oleh
itu, pengurus telah bertindak dengan menilai kos di dalam setiap peringkat
pembinaan projek perumahan tersebut. Hasil daripada penilaiannya,
beliau yakin pelaburan syarikatnya dalam pembelian tanah itu mampu untuk
menjana keuntungan yang berlipat ganda. Berdasarkan peningkatan kadar harga
rumah, pengurus berpendapat rumah kos sederhana adalah relevan, sesuai,
bersifat mampu milik dan mendapat permintaan yang tinggi daripada pelanggan.
3.3 Contoh Ketiga
Contoh seterusnya
ialah langkah yang diambil untuk meningkatkan produktiviti dalam sebuah
syarikat memproses daging arnab. Pengurus dalam syarikat itu telah
membuat keputusan bersama dengan lembaga pengurusan dengan memutuskan untuk
menukar operasi syarikat kepada operasi yang dapat meningkatkan produktiviti
dan kualiti produk kilang. Langkah yang diputuskan oleh pihak pengurusan
ialah menukar kaedah manual kepada kaedah yang lebih moden iaitu menggunakan
mesin sepenuhnya dalam operasi mereka kecuali dalam proses penyembelihan. Ini
bermaksud, kerja-kerja seperti pembersihan daging arnab, pembungkusan dan
pelabelan adalah dikendalikan sepenuhnya oleh mesin-mesin yang dikawal oleh
beberapa orang operator. Sebelum keputusan tersebut dibuat, pengurus
telah membuat kajian dan mengumpul informasi berkaitan dengan penggunaan mesin
dalam operasi syarikatnya. Kajian mendapati langkah menggunakan mesin
dalam operasi syarikat mampu menjana keuntungan yang tinggi kerana ia mampu
meningkatkan kecekapan operasi, meningkatkan produktiviti, menjimatkan masa,
mengurangkan kos dan juga mampu mengekalkan kualiti daging arnab.
Penggunaan mesin juga membantu syarikat untuk memenuhi permintaan terhadap
daging arnab, sama ada permintaan dalam pasaran tempatan mahupun luar negara.
3.4 Contoh Keempat
Contoh keempat
ialah keputusan seorang pengurus di sebuah syarikat hartanah untuk menambah
aset syarikat. Pengurus tersebut membuat keputusan dengan membeli
sebidang tanah di sebuah kawasan tanah tinggi. Beliau berpendapat tanah
di kawasan tersebut sesuai dikomersialkan sebagai tempat peranginan.
Keputusan yang telah diambil adalah berdasarkan perbincangan dalam organisasi
dengan mengambil kira beberapa kriteria dalam pemilihan alternatif yang
terbaik. Pengurus dapat menjangka mengenai keuntungan yang bakal
diperoleh syarikat pada masa hadapan berdasarkan kajian dan penilaian yang
telah dibuat. Berdasarkan peningkatan kadar pertumbuhan ekonomi,
kestabilan politik dan keamanan negara, pengurus berasa amat yakin projek
peranginan syarikatnya mampu untuk menarik pelancong domestik dan luar negara.
Keadaan cuaca dan iklim serta khazanah alam di kawasan tersebut juga menjadi
daya penarik kepada para pelancong untuk mengunjunginya.
4.0 Pembuatan Keputusan Dalam Keadaan Risiko
Dalam persekitaran
pembuatan keputusan dalam keadaan risiko, pengurus mengalami kekurangan
maklumat setiap alternatif, kepentingan setiap alternatif tetapi pengurus
mempunyai beberapa kebarangkalian kejayaan setiap alternatif. Setiap
perniagaan mempunyai risiko masing-masing tetapi risiko boleh dihadapi dengan
inovasi yang berterusan. Risiko boleh ditakrifkan sebagai kemungkinan
adanya sesuatu yang tidak menguntungkan akan berlaku pada masa hadapan.
4.1 Contoh Pertama
Contoh kepada
persekitaran ini ialah situasi di sebuah syarikat jualan langsung.
Penyata kewangan di syarikat itu menunjukkan berlakunya peningkatan jualan pada
setiap bulan. Oleh itu pengurus mengandaikan syarikat akan mendapat
keuntungan bersih pada tahun ini setelah rugi pada tahun lepas. Tanpa
mendapat maklumat lain seperti kos operasi, perubahan cita rasa pengguna dan
faedah pinjaman, pengurus telah mengandaikan syarikat akan mendapat keuntungan
berdasarkan arah aliran jualan beberapa bulan yang lalu. Maka pengurus
mengatakan kebarangkalian syarikat akan mendapat untung adalah 60% dan
kebarangkalian syarikat akan rugi seperti tahun lepas adalah 40%. Dengan
itu pengurus telah membuat keputusan dalam keadaan risiko iaitu tidak diketahui
sama ada syarikat tersebut benar-benar akan untung atau sebaliknya.
4.2 Contoh Kedua
Contoh seterusnya
ialah keputusan seorang pengurus di dalam sebuah syarikat untuk melaburkan wang
syarikat dengan pembelian bon korporat. Beliau percaya pelaburan bon
menawarkan alternatif yang boleh dipertimbangkan oleh syarikat dalam usaha
untuk mempelbagaikan portfolio pelaburan mereka. Ini kerana bon
melibatkan risiko yang rendah jika dibandingkan dengan pelaburan saham.
Pengurus tersebut berpendapat, bon menawarkan pulangan dalam bentuk faedah
tetap secara berkala dan pembayaran balik jumlah pokok yang dipinjamkan apabila
sampainya tarikh matang. Bon merupakan instrumen yang sesuai sebagai
punca kewangan syarikat kerana ia mengekalkan wang pokok dan mendapatkan
pulangan keuntungan yang konsisten.
Walau bagaimanapun, keputusan pengurus tersebut telah meletakkan syarikat
dalam keadaan yang berisiko untuk rugi kerana harga bon dipengaruhi oleh
pelbagai faktor seperti inflasi, kadar faedah, tarikh matang dan kualiti
kredit. Pembelian bon korporat tidak menjamin kepada keuntungan syarikat
pada masa hadapan. Dalam keadaan ekonomi yang berkembang pesat, inflasi
secara lazimnya turut naik. Kenaikan ini lambat laun akan menyebabkan
kenaikan kadar faedah dan menyebabkan nilai bon yang dimiliki jatuh.
Pulangan daripada bon-bon korporat selalunya lebih tinggi jika dibandingkan dengan
bon kerajaan disebabkan risiko lebih tinggi yang perlu ditanggung oleh pembeli
bon korporat berbanding pembeli bon kerajaan. Tetapi sekiranya berlaku
kemelut kewangan seperti inflasi dan sebagainya, syarikat yang membeli bon
korporat akan berhadapan dengan risiko tidak menerima pembayaran kupon dan wang
pokok.
4.3 Contoh Ketiga
Contoh seterusnya
dalam pembuatan keputusan dalam keadaan risiko ialah keputusan yang diambil
oleh seorang pengurus untuk melaburkan wang syarikat mereka ke dalam pelaburan
berstruktur iaitu pelaburan dua-matawang. Pengurus berpendapat keputusannya itu
adalah satu alternatif untuk menjana wang syarikat bagi mendapatkan
keuntungan. Pengurus meyakinkan pihak pengurusan bahawa pelaburan
berstruktur adalah sejenis pelaburan yang boleh memberi pulangan yang lebih
tinggi berbanding dengan cara pelaburan lain, seperti deposit
tetap. Pengurus telah membuat keputusan dalam keadaan risiko kerana tidak
ada jaminan yang meyakinkan sama ada syarikat tersebut benar-benar akan untung
atau sebaliknya. Pelaburan berstuktur boleh digunakan untuk memperoleh
pendapatan atau meningkatkan pelaburan. Walau bagaimanapun, seperti
pelaburan lain, masih terdapat risiko yang boleh mempengaruhi kewangan
syarikat. Ini kerana pulangan pelaburan berstuktur adalah berbeza-beza
dan lazimnya tidak terjamin dan hanya bergantung kepada prestasi aset asas
sepanjang tempoh pelaburan. Syarikat tersebut boleh mengalami kerugian
sekiranya prestasi aset berbeza daripada apa yang dijangkakan oleh
pengurus. Pulangan pelaburan juga boleh terjejas berikutan pergerakan
dalam tukaran asing.
4.4 Contoh Keempat
Contoh seterusnya
dalam pembuatan keputusan dalam keadaan risiko ialah keputusan seorang pengurus
bersama-sama dengan ahli lembaga pengurusan sebuah syarikat melabur dalam pelaburan
berorientasikan pasaran. Pengurus tersebut berjaya meyakinkan ahli-ahli
lembaga bahawa pelaburan berorientasikan pasaran adalah strategi pelaburan yang
paling popular dalam kalangan pelabur. Strategi ini dikenali sebagai
’pelaburan momentum’, kerana ia berdasarkan pola carta harga ataupun minat
pembelian sesuatu saham mengikut arah aliran pasaran. Para pelabur dalam
kategori ini akan membeli saham apabila pasaran naik dan akan menjual semula
saham-saham tersebut apabila pasaran saham mula turun. Oleh itu, syarikat
yang diterajui oleh pengurus tersebut akan memberikan fokus terhadap
saham-saham yang paling banyak mendapat tumpuan dalam pasaran.
Situasi tersebut menunjukkan bahawa pengurus telah membuat keputusan dalam
keadaan risiko iaitu tidak ada kepastian yang benar-benar meyakinkan sama ada
syarikat tersebut benar-benar akan untung atau sebaliknya. Ini kerana
strategi berorientasikan pasaran dianggap pelaburan yang paling berisiko kerana
sekiranya sesuatu masalah timbul walaupun kecil akan mendorong kepada penjualan
saham secara besar-besaran. Keadaan seperti ini akan menyebabkan harga
saham tersebut akan terus merudum. Oleh itu, syarikat mungkin akan
mengalami risiko untuk rugi besar sekiranya menjual saham pada harga yang rendah
ataupun terpaksa terus memegang saham yang mempunyai asas yang lemah kerana
gagal dijual ketika harga saham tersebut menjunam.
5.0 Pembuatan Keputusan Dalam Keadaan Ketidakpastian
Pembuatan
keputusan dalam keadaan ketidakpastian terjadi apabila maklumat adalah terlalu
kurang dan pengurusan amat sukar melihat kebarangkalian kejayaan setiap
alternatif. Dalam situasi ini pembuat keputusan tidak mempunyai sebarang
maklumat untuk membantunya membuat keputusan. Persekitaran ini paling
sukar dihadapi oleh sesebuah organisasi. Memandangkan kesukaran yang
dihadapi, pengurus hendaklah bergantung kepada kreativiti, keunikan kaedah dan
alternatif yang inovatif.
5.1 Contoh Pertama
Contoh situasi ini
ialah dalam industri yang banyak mengalami inovasi dan perkembangan produk baru
seperti industri perisian komputer, pesaing-pesaing sentiasa cuba meramalkan
bentuk produk perisian pada masa hadapan. Situasi ini boleh dilihat di
dalam sebuah syarikat yang menjual perisian anti virus komputer. Seperti
yang kita ketahui, perisian anti virus membantu pengguna mengenal pasti dan
seterusnya menghapuskan virus serong seperti worm dan trojan daripada
komputer. Oleh kerana hampir pada setiap hari, virus komputer baru
diperkenalkan di internet maka seseorang pengurus yang ingin memperkenalkan
produk baru keluaran syarikatnya ke dalam pasaran akan terpaksa membuat
keputusan dalam keadaan ketidakpastian. Oleh kerana hampir setiap masa
virus baru muncul di internet dan kemampuan perisian tersebut belum teruji sepenuhnya,
maka respon pengguna terhadap produk baru ini sukar untuk diramal. Pihak
pengurusan tidak pasti sama ada pengguna akan mencuba produk baru ini atau
sebaliknya. Oleh kerana reaksi pengguna sukar diramal, maka kesan setiap
alternatif keputusan yang akan dibuat juga tidak dapat dijangka. Langkah
atau alternatif keputusan yang mungkin boleh diambil oleh pengurus ialah
memperkenalkan harga promosi iaitu dengan menurunkan harga produk tersebut.
5.2 Contoh Kedua
Contoh kedua ialah
dalam industri perkakasan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK). Dewasa
ini ultrabook merupakan gajet TMK yang semakin popular sejak diperkenalkan pada
tahun 2011. Terdapat beberapa kriteria yang dikeluarkan oleh syarikat
semikonduktor Intel untuk menepati ciri-ciri sebuah ultrabook. Antara
kriteria sebuah ultrabook ialah ketebalannya tidak melebihi 2.5 sentimeter,
jangka hayat bateri yang panjang, kecekapannya berfungsi dengan pantas dan
boleh bertindak serta merta. Sejak diperkenalkan dalam pasaran, beberapa
syarikat pengeluar komputer telah berlumba-lumba untuk menghasilkan dan
mempromosikan ultrabook mereka ke dalam pasaran.
Para pengurus dalam syarikat-syarikat tersebut pasti mengalami situasi
pembuatan keputusan dalam keadaan ketidakpastian terutama mengenai bentuk
produk yang sepatutnya mereka keluarkan ke dalam pasaran pada masa
hadapan. Ini kerana kejayaan sesebuah produk bergantung kepada pengguna
dan respon mereka adalah sesuatu yang sukar diramal oleh pengeluar. Jika
dahulu para pengguna terpaksa membeli dan menyesuaikan diri dengan mengikuti
perkembangan syarikat pengeluar, tetapi kini pihak pengeluar terpaksa mengkaji
dan menilai trend dan kehendak pasaran pula. Oleh itu pembuat keputusan
terpaksa menggunakan pengalaman serta pertimbangan sendiri dalam membuat keputusan.
Alternatif keputusan yang mungkin boleh dibuat dalam situasi ini ialah
memperkenalkan produk yang lebih inovasi dan mempunyai keistimewaan tersendiri
umpamanya ultrabook yang berskrin sesentuh, bersifat boleh ubah menjadi gajet
tablet dan sebagainya.
5.3 Contoh Ketiga
Contoh seterusnya
menggambarkan pembuatan keputusan dalam keadaan ketidakpastian. Seorang
pengurus bersama lembaga pengurusan di sebuah syarikat pembuat perabot
berasaskan kayu telah bersepakat dan mengambil keputusan untuk memperkenalkan
satu produk baru ke pasaran. Produk tersebut ialah barang-barang
perhiasan yang diperbuat daripada kristal. Walau bagaimanapun, syarikat
tersebut tidak dapat meramalkan respon pengguna terhadap produk baru tersebut
kerana perhiasan kristal merupakan sesuatu yang baru kepada penduduk-penduduk
di kawasan tersebut. Syarikat tersebut merupakan syarikat yang pertama
menjual barangan kristal di kawasan tersebut kerana tiada peniaga yang
menjualnya sebelum ini. Oleh itu, tidak ada data dan maklumat pada masa lalu
yang boleh dijadikan panduan untuk meramal kehendak pengguna. Kesan
setiap alternatif keputusan yang akan dibuat juga tidak dapat dijangka.
Dalam kes ini alternatif keputusan yang mungkin diambil kira ialah daripada
segi perletakan harga. Syarikat mungkin boleh meletakkan harga yang lebih
rendah terhadap produk tersebut berbanding dengan harga produk tersebut di
tempat-tempat lain. Oleh kerana ketiadaan maklumat untuk dijadikan
panduan, maka sebarang keputusan yang akan diambil lazimnya bergantung kepada
pertimbangan pengurus itu sendiri.
5.4 Contoh Keempat
Contoh keempat
dalam menggambarkan pembuatan keputusan dalam keadaan ketidakpastian ialah
situasi di sebuah syarikat kecantikan yang ingin mengeluarkan produk
sulungnya. Pengurus di syarikat tersebut telah mengambil keputusan untuk
mengeluarkan produk yang dipercayai mampu untuk mengurangkan berat badan dan
dikhaskan kepada golongan lelaki dan wanita. Pengurus dan lembaga
pengurusan menghadapi masalah untuk meramal respon pengguna kerana terlalu
banyak produk kecantikan di dalam pasaran, tambahan pula ini merupakan produk
sulung mereka. Mereka hanya bersandar kepada kenyataan bahawa produk
untuk mengurangkan berat badan memang diminati oleh golongan remaja dan dewasa,
sama ada lelaki atau wanita yang mengalami berat badan berlebihan. Oleh
itu alternatif keputusan yang boleh diambil oleh syarikat tersebut ialah
menggunakan strategi pemasaran yang berkesan dan bijak dengan mengadakan
promosi-promosi dan tawaran-tawaran yang menarik.
KESIMPULAN
Sebagai pemimpin
dalam sesebuah unit atau jabatan, pembuatan keputusan memerlukan kemahiran
khusus di mana setiap pengurus hendaklah bersedia membuat keputusan yang baik
dan efektif untuk sesebuah organisasi. Pembuatan keputusan menjadi lebih
kritikal apabila organisasi berhadapan dengan beberapa masalah. Masalah
perlu dihadapi oleh seseorang pengurus dengan tenang dan berusaha menggunakan
pemikiran saintifik dan intuitif yang dimiliki.
Semasa menghadapi masalah, seseorang pengurus perlu mengetahui jenis
masalah yang wujud, kesilapan biasa dalam mentakrif masalah, peranan
persekitaran dalam menyelesaikan masalah dan bagaimana menganalisis
alternatif. Memilih penyelesaian yang dikehendaki adalah sesuatu yang
sukar tetapi mesti dilakukan di mana pengurus hendaklah memahami sesuatu
keputusan yang hendak dilakukan, bagaimana membuat keputusan yang berkesan dan
siapa yang patut membuat keputusan. Perlaksanaan keputusan yang dipilih
akan menjadi lebih mudah jika melibatkan pelbagai pihak di dalam organisasi.
Terdapat beberapa gaya dalam pembuatan keputusan iaitu, gaya terarah, gaya
analitikal, gaya konsepsi dan gaya kelakuan.
Pengurus perlu mempunyai kefahaman mengenai kelebihan dan kekurangan setiap
gaya kerana pengetahuan tersebut boleh diaplikasikan untuk menangani
pelbagai situasi yang timbul. Beberapa perkara seperti bias psikologi,
tekanan masa dan realiti sosial di dalam sesebuah organisasi menyumbang kepada
keputusan tidak berkesan. Adalah menjadi tanggungjawab seseorang pengurus
untuk membuat keputusan terbaik dan berkesan walaupun berhadapan dengan masalah
ini. Oleh itu, beberapa pendekatan dapat digunakan untuk mengembangkan
kemahiran pembuatan keputusan iaitu penggunaan kreativiti, sistem sokongan
keputusan berkomputer dan pemikiran pelbagai dimensi. Pengurus yang cekap
dan berkesan adalah mereka yang berani berhadapan dan bijak menyelesaikan
masalah serta menggunakan kekuatan peribadinya apabila berhadapan dengan
konflik ketika membuat keputusan. Pengurus yang efektif juga biasanya
sentiasa belajar bagaimana untuk meningkatkan kemahiran pembuatan keputusan.
3017 patah perkataan
RUJUKAN
Ab. Aziz
Yusof. (2000). Pengurus dan Gelagat Organisasi di Abad ke
21. Selangor
Darul Ehsan: Prentice Hall.
Abdul Manaf
Bohari. (2005). Sistem Sokongan Keputusan.
Selangor: Prentice Hall.
Ahmad Atory
Hussain. (1985). Prinsip Pengurusan di Sektor Awam dan
Swasta.
Universiti Kebangsaan malaysia: UPA Press Sdn. Bhd.
Aizzat Mohd.
Nasurdin et. al. (2006). Pengantar Pengurusan.
Kual Lumpur: Maziza
Sdn. Bhd.
Jaafar Muhammad
et. al. (2007). Pengantar Pengurusan. Kuala
Lumpur: Leeds
Publications.
Shahrol Aman Ahmad
et. al. (2007). Prinsip Pengurusan. Selangor
Darul Ehsan:
OUM.
Stephen P.
Robbins. (2000). Gelagat Organisasi. Selangor
Darul Ehsan: Prentice Hall.
Williams, C.
(2000). Management. Ohio: South-Western
Publishing.
http://www.bankinginfo.com.my
(Diakses pada 16 November 2012)
http://www.kosmo.com.my
(Diakses 14 November 2012)
http://www.min.com.my
(Diakses 16 November 2012)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan